Keblinger

Keblinger

Siapa Kata Menang Judi Boleh Bahagia

| 08 August 2010
Judi hanyalah boleh membawa kemusnahan kepada pengamalnya. Sila rujuk Berita Harian hari ini, seorang petani di Sarawak telah membunuh diri akibat judi walaupun pernah memenangi imbuhan judi hampir satu juta.

Saya teringat pada satu masa dahulu, kira-kira 20 tahun yang lepas. Saya mempunyai seorang jiran yang suka berjudi nombor ekor. Katanya dia berjudi hanya untuk dapatkan modal untuk berniaga. Pada masa itu jiran saya berkerja sebagai security guard di Bazar Mara yang berdekatan kampong saya.

Ditakdirkan Allah jiran itu telah memenangi nombor ekor hampir RM50,000.00. Jiran saya sangat gembira dan mengistiharkan bahawa dia tidak akan berjudi lagi. Wang judi sebahagian kecil telah diagih-agih kepada jirannya yang rapat sebagai tanda kesyukuran, kata jiran saya. Jiran saya juga buat kenduri kesyukuran, namun ramai yang tidak datang bila mengetahui jiran saya itu kena nombor ekor.

Dengan wang kemenangan itu jiran saya telah membeli sebuah pickup secondhand. Pickup ini digunakan untuk menjaja ikan di kampong-kampong sekitar. Namun perniagaan jiran saya itu tidak bertahan lama kerana kebanyakan orang enggan membeli ikan yang dijaja oleh jiran saya itu.

Selepas enam bulan saya dengar jiran saya terpaksa menjual balik pickup yang dibeli kerana kehabisan wang untuk menerus penghidupannya. Dia kembali berkerja sebagai security guard. Dia juga kembali menagih judi nombor ekor sehingga PAS mengambil alih tampok pemerintahan kerajaan Kelantan dan mengharamkan judi di sana.

Wang yang sedikit tetapi berkat adalah lebih baik dari wang yang banyak tetapi tidak berkat.


Petikan Berita Harian08/08/10
Duit loteri habis, petani bakar diri


2010/08/08
KUCHING: Seorang petani warga tua yang pernah hidup mewah selepas memenangi wang loteri berjumlah hampir RM1 juta lima tahun lalu berakhir dengan dia membakar dirinya sendiri kerana kehabisan wang berkenaan.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku dalam minggu ini, mangsa yang hanya dikenali sebagai Khoo, 63, berasal di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, dikatakan bertindak mengorek lubang kubur di belakang rumahnya sendiri sebelum menyimbah petrol dan menyalakan api pada tubuhnya.
Difahamkan, Khoo yang memenangi loteri berjumlah RM750,000 terpaksa hidup merempat gara-gara terlalu boros membelanjakan wang itu selain pernah membeli nombor ekor berjumlah RM1,800 setiap kali cabutan dengan harapan mendapat pulangan lebih besar.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, berkata setakat ini kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dengan pihaknya percaya kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur khianat.

"Mayat mangsa hanya ditemui anak saudaranya yang melawat rumahnya kira-kira jam 7 petang semalam (kelmarin) kerana ingin bertanya khabar selepas mereka tidak berhubung bagi tempoh yang agak lama.

"Anak saudaranya yang menemui lubang berkenaan bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian yang menimpa bapa saudaranya itu. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Simunjan bagi pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memaklumkan, pakciknya itu tidak pernah berkahwin dan tinggal seorang diri kerana mengusahakan tanaman sayur di kebun bersebelahan rumahnya.
"Sebaik menang wang loteri, pakcik terus berhenti daripada mengusahakan kebun sayur selain sempat membina rumah baru, melancong ke luar negara beberapa kali serta membeli lebih banyak nombor ekor dengan harapan mendapat keuntungan besar.

"Namun nasib tidak menyebelahinya menyebabkan dia terpaksa menjual bahagian rumah yang diperbuat dari besi bagi meneruskan kehidupan. Mungkin akibat terlalu tertekan, dia bertindak membakar dirinya sendiri," katanya.

0 comments:

 

Copyright © 2010 N29